Jul 24, 2010

AMK Kepada Bekas Ketua: Bangkit Siasat Najib!

Angkatan Muda Keadilan menggesa Senator Ezam Mohd Noor supaya menggerakkan kempen terhadap Presiden Umno Najib Abdul Razak yang terpalit dengan pelbagai skandal dan kontroversi.

Senator Umno itu disaran mendesak satu siasatan telus, terbuka dan terperinci dijalankan menyiasat isu pemberian komisyen RM520 juta kapal selam Scorpene, pemberian lesen judi sukan kepada hartawan Vincent Tan, serta skandal membabitkan wanita warga Mongolia, Altantuyaa Shaariibuu.

Jika tidak, kata Ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin, maka Ezam Mohd Noor membuktikan bahawa beliau kini tidak lebih dari kuda tunggangan cita-cita Umno merampas Selangor.

Shamsul berkata orang pertama yang harus diselidikinya ialah 'tuannya' sendiri, serta skandal-skandal lain membabitkan pimpinan Umno-BN, seperti mahligai bekas Menteri Besar Dr Khir Toyo, serta skandal penjualan peralatan nuklear kepada Libya.

Beliau melahirkan rasa terkilan dengan perubahan sikap Ezam Mohd Noor yang rakus menyerang Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim tetapi menikus di hadapan pemimpin Umno.

"Beliau sepatutnya bercakap tentang Perdana Menteri itu sendiri.Dalam kes PI Bala misalnya. Jelas ada sumbangan, jelas ada unsur-unsur rasuah dan penyelewengan tetapi SPRM sehingga sekarang masih belum selesai penyiasatan," tegas Shamsul.

Senator Ezam, yang terkenal dengan kotak-kotak rahsia mengandungi butiran rasuah pimpinan-pimpinan Umno semalam melibatkan diri dalam kempen merampas kembali Selangor bersama-sama Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Seri Noh Omar.

Umno mendakwa Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) telah disalahguna untuk membiayai jentera Pakatan Rakyat menghadapi pilihanraya akan datang. Umno turut mendakwa KSSB mengamalkan kronisma, dakwaan yang dibidas keras oleh Kerajaan Negeri.

Kedua-dua pemimpin Umno itu bagaimanapun tidak mengesahkan fakta bahawa keseluruhan jumlah royalti dan keuntungan sebelum cukai yang diraih kerajaan negeri dan KSSB telah meningkat sebanyak 86.1 peratus dari RM4.39 juta pada 2007 dibawah BN kepada RM8.17 juta pada 2008 dalam masa sesingkat 9 bulan dibawah Pakatan Rakyat.

Bahkan, keuntungan industri pasir Selangor terus meningkat kepada RM13.76 juta pada 2009. Bagi suku pertama 2010 sahaja, Kerajaan Negeri telah mengaut sebanyak RM15.3 juta.

Barisan Nasional tumpas di negeri terkaya di Malaysia ini dalam pilihanraya umum ke-12, 8 Mac 2008, dan melipat-gandakan usaha untuk merampas Selangor selepas berjaya menggulingkan kerajaan negeri di Perak.

Difahamkan program berkenaan turut diadakan di Klang dan bakal disusuli 17 siri ceramah lagi di seluruh negeri Pakatan itu sehingga 8 Ogos ini.

"Mereka mahu selamatkan Umno dari apa? Mahu selamatkan Selangor dari ancaman urustadbir yang bersih dan telus? Kalau kita lihat laporan Audit Negara, Selangor diberi taraf 4 bintang, menunjukkan betapa licinnya jentera pentadbiran Selangor mengurus wang rakyat," tegas Shamsul.

"Kempen mereka itu menunjukkan bahaawa media yang saban hari digunakan menyerang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid telah gagal," tambah beliau.

Shamsul yakin Umno semakin resah kerana Selangor adalah lubuk emas yang menjana kemewahan untuk kroni-kroni pemerintah.

"Noh Omar, dengan disokong Datuk Najib selaku Pengerusi Umno Selangor, menggunakan tokoh-tokoh yang dahulunya bersama kita dalam gerakan rakyat untuk menyerang Pakatan Rakyat," ujar Shamsul.

"Saya yakin ada kelompok-kelompok Khir Toyo yang akan menyerang balas dan akan berlaku lagi perpecahan di dalam UMNO Selangor itu sendiri," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

good