May 29, 2010

Ucapan Dasar Presiden PKR


Kongres Nasional PKR Keenam



MENJUNJUNG KESUCIAN ISLAM & HAK KEBEBASAN BERAGAMA

Saudara-saudari sekalian,

Mutakhir ini terdapat lambakan isu bersabit moral dan agama yang begitu merunsingkan rakyat. Kita bersyukur dan berterima kasih, di atas kematangan rakyat Malaysia yang tidak termakan dengan umpan, sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab memainkan isu-isu sensitif agama. Perancangan mereka dengan memutar belitkan isu penggunaan nama Allah, tidak kesampaian. Apapun, kerunsingan rakyat ini perlu kita jawab dan rungkaikan.

Kejayaan Majlis Pakatan Rakyat mengadakan Wacana Agama dengan 120 perwakilan pelbagai agama, persatuan, pemimpin masyarakat dan aktivis menunjukkan kematangan kita menangani anasir pelampau opotunis. Saya memberi jaminan, KEADILAN akan terus mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan menjamin kebebasan beragama.

Saudara-saudari perwakilan sekalian,

Di sebalik lakonan kononnya memperjuangkan Islam – Umno tanpa segan silu meluluskan lesen judi sukan yang diberikan kepada kroni besar. Percambahan lesen judi, galakan berjudi dikalangan rakyat paling meluas di era kepimpinan DS Najib. Malangnya ustaz-ustaz UMNO terus membisu. Lebih mengaibkan buat mereka apabila Ahli Parlimen bukan Islam dari PR yang membantah.

Sehingga kini, tidak kedengaran langsung suara-suara dari Melayu membantah tindakan menghalalkan judi.
Jawapan rasmi kerajaan amat hambar; kononnya menghalalkan judi sukan akan membawa kebaikan kepada ekonomi negara dan membendung aktiviti judi haram di pasaran gelap.

MENONGKAH CABARAN YANG LEBIH HEBAT

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Dua tahun mendatang adalah tahun kritikal kepada kita. Meskipun saya yakin api perjuangan yang kita nyalakan ini tidak akan padam, namun musuh akan menggunakan segala helah yang lebih jelek dan zalim terhadap kita.

Pada PRU Mac 2008 rakyat telah menghantar mesej jelas, menuntut reformari menyeluruh ke atas semua institusi Negara. Namun tuntutan itu diabaikan, malah mereka semakin salahguna kuasa dan rasuah lebih parah lagi.

Analisa pasca 2008 secara terang-terangan membuktikan rakyat lebih dewasa; menempelak propaganda. Namun mereka tidak mengambil iktibar. Apa yang berlaku hari ini jauh lebih teruk – hinggakan beberapa orang pengamal media dan penerbit meletakkan jawatan kerana campurtangan Menteri dan kaum keluarga mereka .

Institusi kehakiman pun menerima nasib yang sama. Walaupun isu VK Lingam menjadi satu isu besar di peti undi, tiada tindakan diambil. Keputusan-keputusan mutakhir yang kita perhatikan jelas menunjukkan darjat institusi kehakiman kita tidak banyak berubah berbanding tahun 1998 dahulu.

JAMINAN KESELAMATAN MELALUI POLIS BUKAN NEGARA POLIS

Ketua Polis Negara berkata bahawa penjenayah kini jauh lebih brutal dan ganas. Kerana itulah rakyat meletakkan harapan kepada institusi polis untuk menjaga keselamatan nyawa dan kesejahteraan harta benda dari tergugat dengan tindakan brutal.

Namun, hari ini keadaannya tidak begitu bilamana polis pula dilihat begitu cepat dan ghairah meragut nyawa atas alasan menjalankan tugas.

Bagi seluruh warga KEADILAN, saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga adik Aminul Rasyid yang terkorban, serta semua mangsa tindakan serupa sebelum ini. Saya berasa tersentuh, 12 tahun dahulu, malam 20 September 1998 saya dengan begitu naïve meletakkan kepercayaan kepada polis ketika mereka membawa Saudara Anwar. Hari ini, selepas 12 tahun, pesan Saudara Anwar mengenai kezaliman polis masih relevan. Beliau mengingatkan rakyat kalau seorang Timbalan Perdana Menteri boleh diperlakukan begitu, apatah lagi nasib rakyat jelata.

Kita tegur atas prinsip dan tanggungjawab. Kita maklum ramai anggota polis terkorban ketika bertugas menentang penjenayah demi menjaga keselamatan rakyat. Malah ramai juga anggota parti kita bekas anggota polis. Sebab itu saya ingin tegaskan, kita menuntut institusi polis dibebaskan dari campurtangan politik. Latihan polis hendaklah menitikberatkan hal-hal kerohanian, hak asasi manusia dan pegawai polis mendokong fungsi dan peranan mereka secara profesional.

Apabila kita mencadangkan satu Suruhanjaya Bebas Penyiasatan Salahlaku Polis ditubuhkan, kita serius dalam soal keselamatan. Bukan tindakan memusuhi mana-mana pihak – tetapi ia satu mekanisme yang penting untuk meningkatkan imej polis.

PILIHANRAYA ADIL TUNTUTAN DEMOKRASI

Saudara-saudari sekalian,

Reformasi sistem politik dan proses pilihanraya langsung tidak menunjukkan kemajuan. Seingat kita, rapat umum Bersih dalam tahun 2007 sudah mampu menghantar mesej jelas, tuntutan bagi mengadakan pilihanraya yang adil dan bebas, rupa-rupanya tidak. Kita perlu mengkaji langkah-langkah baru untuk mempercepatkan proses reformasi politik dan pilihanraya menjelang pilihanraya ke-13. Saya juga mencadangkan kepada Pakatan Rakyat untuk merancang sekali lagi Himpunan Bersih dengan azam yang kuat menuntut pilihanraya yang bersih, adil dan telus.

Pengalaman kita di kesemua pilihanraya kecil selepas Mac 2008 menunjukkan SPR masih tidak berubah. SPR bukan sahaja tidak professional dan berat sebelah, malah lebih teruk lagi apabila bersekongkol merancang penipuan. Pengendalian undi pos semakin dipertikaikan ketelusannya. Maka kita menyokong tindakan Dato Zahid Inrahim memfail petisyen, membantah proses PRK Hulu Selangor. Sehingga kini, integriti dan kesahihan daftar pengundi masih dipersoalkan. Kita bimbang jika kredibiliti SPR tidak dipulihkan, ia membawa kesan jangka panjang kepada keyakinan rakyat terhadap sistem pilihanraya di Malaysia.

INTERGRITI PENCEGAH RASUAH

Saudara-saudari yang dikasihi

Perubahan yang dikatakan dijanjikan dengan pembentukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berlaku. Persepsi masyarakat mengenai kebebasan dan integriti SPRM masih terus merudum. Buku berjudul Malaysian Maverick: Mahathir in Turbulent Times oleh Barry Wain dengan berani menyatakan bahawa negara kerugian 100 billion ringgit ketika pemerintahan Mahathir, masih gagal disiasat mahupun diulas oleh pemimpin hari ini mahupun oleh pegawai tertinggi SPRM.

Keterlibatan secara langsung SPRM dalam beberapa insiden berbaur politik sehingga menjatuhkan kerajaan sah Pakatan Rakyat, di Perak dan dikaitkan dengan kematian mendiang Teoh Beng Hock, ketika ghairah melakukan perkara yang sama di Selangor masih segar diingatan.

No comments:

Post a Comment

good