May 29, 2010

Enam Kerusi Untuk Wanita Sarawak


Kongres Nasional PKR Keenam

KOTA BHARU: Sayap wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) setakat ini mengenalpasti enam kerusi yang bakal diperuntukkan bagi wanita di peringkat negeri Sarawak selaras dengan peruntukan 30 peratus kuota dalam semua peringkat organisasi parti itu.

Demikian menurut Ketua Wanita Keadilan Zuraida Kamaruddin, bahawa peruntukan tersebut melibatkan fungsi wanita dalam proses membuat keputusan di semua peringkat termasuklah pusat, negeri dan cabang.

"Peruntukan itu diklasifikasikan dengan tiga kerusi bagi Melayu, dua kerusi Cina dan satu bagi wanita Iban. Langkah tersebut diambil bagi memastikan pembabitan wanita di Kepulauan Borneo itu bertambah kukuh dan mantap," jelas beliau kepada Free Malaysia Today.

Ia sekaligus menafikan spekulasi bahawa wanita keadilan di peringkat negeri dan cabang lumpuh, lebih-lebih lagi ketika pilihan raya di Sibu 16 Mei lalu.

"Kita tiada masalah terhadap cabang wanita…malah kita tahu undi wanita di Borneo ini sangat penting. Namun perkara yang ditimbulkan sebelum ini disebabkan kelemahan parti kerana sayap wanita tetap bergerak sendiri, di atas nasihat dan pemantauan wanita pusat.

"Malah kita sudah buat kajian membabitkan Sabah dan Sarawak dengan mengenalpasti enam kerusi di Sarawak. Melalui enam kerusi itu tiga untuk Melayu, dua Cina dan satu Iban," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi peringatan tegas kepada ahli-ahli wanita agar terus membantu memantapkan parti sebelum berdepan zaman ‘malap’.

"Saya sedang berdepan dengan keadaan kritikal kerana kita masih kekurangan wanita mengisi kekosongan 30 peratus tersebut. Saya mahu parti terus hidup setelah 10 tahun berjuang maka saya ingatkan kepada semua, agar sedar dan peka terhadap permasalahan yang berlaku.

"Saya tidak mahu melihat parti kita malap, maka sayap wanita perlu mengatur gerak yang lebih agresif bagi memperkukuhkan sayap wanita dan seterusnya parti kita sendiri.

"Malah kita mahu wanita bersiap sedia untuk menjadi ketua cabang," katanya.

No comments:

Post a Comment

good