May 29, 2010

Pakatan: Kami puas hati Khalid sebagai MB, Pengerusi PKR




Kongres Nasional PKR Keenam

Kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) hari ini menolak tangapan bahawa kedudukan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim tergugat ekoran pendedahan amalan rasuah urus niaga pasir dan juga kerana gagal mempertahankan kerusi Hulu Selangor.

Parti Keadilan Rakyat (PKR), salah satu komponen PR juga menegaskan Khalid akan kekal sebagai pengerusi negeri itu.

Selain pucuk kepimpinan PKR, pemimpin DAP dan PAS juga menyatakan sokongan terhadap Khalid menerajui negeri itu pagi ini.

Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya tiada masalah dengan kepimpinan Khalid menerajui kerajaan negeri Selangor walaupun berdepan dengan isu rasuah syarikat pasir.

“Ia cuma persoalan membuka buku untuk siasatan penuh... itu telah diumumkan oleh Khalid, penubuhan Selcat yang diketahui oleh Speaker (Dewan Undangan Negeri).

“Oleh itu, saya tidak melihat ia sebagai satu masalah,” kata Anwar yang juga Penasihat PKR pada sidang media selepas majlis perasmian Kongres Nasional Keenam PKR di sini hari ini.

“Kalau ada laporan (dakwaan rasuah), sebagaimana dikatakan oleh presiden (dalam ucapan dasar kongres), kita ambil tindakan segera,” kata Anwar lagi.

“Sekarang ini tidak berbangkit... cuma ada beberapa pandangan. Kalau kita rujuk kepada ucapan presiden, kita ada buat yang baik, tetapi kita mahu disegerakan beberapa program terutama yang memberikan faedah kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula berkata, setakat ini tiada apa-apa langkah untuk menukar kepimpinan Khalid sebagai Pengerusi PKR negeri.

“Bukan setakat ini,” katanya.

Lazimnya PKR akan menukar kepimpinan negeri selepas mesyuarat tahunan mereka.

Bagaimanapun menurut Dr Wan Azizah, beliau akan berbincang dengan kepimpinan negeri.

“Setakat ini belum lagi, tetapi setakat ini (Khalid) akan menerajui negeri,” kata beliau berulang.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang turut hadir pada sidang media memberitahu, pihaknya meletakkan keyakinan penuh terhadap Khalid.

“Kami ada keyakinan penuh terhadap Khalid. Beliau melakukan kerja dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang memberitahu persoalan tentang kedudukan Khalid menerajui Selangor tidak timbul sama sekali.

“Persoalan mengenai kedudukan beliau tidak timbul sama sekali,” katanya lagi.

Pemimpin-pemimpin PR itu mengulas laporan bahawa kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar dan Pengerusi PKR tergugat ekoran isu dakwaan amalan rasuah dalam syarikat perniagaan pasir kerajaan negeri Kumpulan Semesta Sdn Bhd.

Sehubungan itu, beberapa pemimpin PKR yang dihubungi The Malaysian Insider berkata Kongres Nasional Keenam PKR dijangka, antara lain akan menggesa perubahan kepimpinan parti peringkat negeri khususnya di Selangor.

Desakan perubahan di Selangor dijangka menjadi perhatian ekoran kesan kegagalan mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor ketika pilihan raya kecil 25 April lalu.

The Malaysian Insider difahamkan perwakilan dari Selangor dijangka membawa cadangan meminta agar pucuk kepimpinan negeri memikul tanggungjawab atas kegagalan itu dengan melepaskan jawatan sebagai pengerusi negeri Selangor.

Malah difahamkan desakan itu juga antara kandungan laporan bedah siasat yang disediakan baru-baru ini.

Menteri Besar Selangor merupakan Pengerusi PKR negeri dan beliau telah bertindak sebagai pengarah pilihan raya kecil PKR di Hulu Selangor.

Dalam pada itu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin secara terbuka mengakui kepada The Malaysian Insider bahawa perlu adanya perubahan dalam kepimpinan negeri Selangor.

Ahli Parlimen Ampang ini berkata, beliau berpendapat pada masa sekarang tanggungjawab memimpin jentera parti negeri dan pentadbiran kerajaan negeri perlu dipikul berasingan oleh dua yang lain.

Kini Khalid satu-satunya pemimpin parti negeri turut menyandang jawatan menteri besar.

Pakatan Rakyat memerintah kerajaan negeri Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Selangor diterajui pemimpin PKR, Pulau Pinang (DAP) manakala Kedah dan Kelantan (PAS).

Perkara itu turut mendapat perhatian di sini hari ini apabila Dr Wan Azizah beberapa kali menyebut nama Khalid dan menyentuh prestasi kerajaan negeri Selangor dalam ucapan dasarnya.

Dr Wan Azizah berkata, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada PR dan PKR khususnya di Selangor, adalah “kepercayaan bersyarat.”

“Harapan rakyat yang diungkapkan melalui manifesto, perlu diterjemahkan dengan sebaiknya melalui pelaksanaan yang menepati tuntutan.

“Bukan mudah untuk memimpin Selangor, apatah lagi selepas 50 tahun diporak-perandakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Khalid dan pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus mentadbir negeri dengan baik, walaupun terpaksa berhadapan dengan karenah dan tentangan dari luar mahupun dari dalam,” katanya.

Sambil berkata sesungguhnya, pengiktirafan tidak datang dengan percuma, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan negeri Selangor perlu terus menjunjung aspirasi rakyat dan aspirasi parti rakyat, dan aspirasi parti dan PR.

“Tempoh dua tahun memimpin, pelbagai dasar yang meletakkan kepedulian kepada rakyat di hadapan telah dilaksanakan.

“Program-program ini perlu disokong dan dan diperhebatkan.

“Kerajaan negeri perlu lebih kreatif menggembleng tenaga dengan aktivis parti untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat kebaikan dari program sebegini,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta kerajaan negeri memberi perhatian terhadap lima perkara, antara mempercepatkan pelaksanaan keputusan dan kelicinan pentadbiran.

“Kenal pasti undang-undang, dasar dan arahan pekeliling yang menjadi punca kepada kelewatan dan birokrasi remeh untuk disemak, dipinda mahupun dibatalkan,” katanya.

Selain itu, beliau mahu kerajaan negeri Selangor memastikan perkhidmatan dan bantuan kerajaan negeri sampai hingga ke peringkat yang terbawah.

Beliau juga mahu kerajaan negeri memperhebatkan pelan pembangunan ekonomi negeri yang berlandaskan Agenda Ekonomi Malaysia.

Dua aspek lain ialah memenuhi harapan rakyat dalam perkhidmatan kerajaan tempatan dan jentera penerangan kerajaan negeri perlu lebih agresif, proaktif dan kreatif untuk memastikan dasar-dasar dan maklumat kerajaan negeri sampai ke kumpulan sasaran.

“Harus diingat, politik adalah persoalan persepsi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

good