May 29, 2010

PKR Teruskan Legasi Wanita Sebagai Presiden?




KOTA BHARU: Dalam kehangatan persidangan Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang berlangsung, timbul pula desas desus siapa bakal pengganti bagi jawatan presiden parti nanti.

PKR kini diterajui Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, manakala jawatan Ketua Umum disandang suami beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru itu, sesuatu yang menarik timbul apabila persoalan sama ada harus dilantik seorang wanita lain bagi meneruskan legasi wanita bagi jawatan tersebut.

Free Malaysia Today berjaya mendapatkan beberapa pandangan daripada beberapa pimpinan tertinggi sayap wanita yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan itu sekiranya berlaku peralihan kepada tampok kepimpinan tertinggi parti itu.

Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin menyifatkan desas-desus tersebut hanyalah mainan politik dalaman parti dan menganggapnya sebagai gurauan sahaja.

Beliau berpendapat jawatan tersebut perlu dipikul oleh seorang individu yang berkelibar, lebih dari kaitannya dengan soal gender.

"Kita lihat bagaimana individu tersebut layak memimpin parti. Soal wanita terus menjadi presiden tidak timbul kerana yang penting individu tersebut mempunyai kualiti untuk terus kekal.

"Pada saya jika mahu meletakkan wanita tetapi tiada kelebihan tidak boleh juga…….kita lihat pada merit dan kebolehannya," kata Ahli Parlimen Ampang tersebut.

Wan Azizah paling layak

Berbeza dengan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, beliau tidak menafikan desas-desus tersebut namun beliau berkata, "biar pucuk pimpinan parti menentukannya."

Menyifatkan keperibadian Wan Azizah sebagai seorang yang ‘lembut tetapi tegas’, Fuziah melihat beliau sebagai seorang pemimpin paling layak mengekalkan jawatan presiden dalam parti tersebut.

Menurutnya, peranan Wan Azizah dapat mengimbangi peranan kepimpinan yang diibaratkan seperti hubungan ‘kekeluargaan’.

Fuziah berkata, "saya melihat Wan Azizah sebagai calon presiden yang layak dengan mengekalkan jawatan apabila di adakan pemilihan nanti. (Kongres kali ini tidak ada pemilihan pucuk pimpinan).

"Ini kerana beliau dapat mengimbangi peranan kepimpinan dalam parti yang diibaratkan seperti keluarga.. ada ayah, ada ibu," jelas Fuziah yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR.

"Anwar sebagai ayah yang tegas dengan semua maka perlu ada ibu yang lembut dalam tegas seperti Wan Azizah," kata Fuziah.

Ketika ditanya mengenai kepimpinan presiden adalah wanita, ini reaksi beliau. "Kita (PKR) tidak meletakkan pendirian bahawa presiden adalah seorang wanita. Masalah gender seperti ini tidak wujud dalam parti. Lelaki atau wanita tidak menjadi masalah."

"Bila bercakap pasal kemampuan, saya kata tidak kira lelaki mahupun wanita jika dia tetap mampu…tapi bagi saya, saya tidak mampu nak pikul. Mungkin ada yang meminta (menjadi pengganti), namun saya tidak bercita-cita," katanya jujur.

No comments:

Post a Comment

good