Oct 17, 2010

ZAID Ibrahim

Hari ini 16hb Oktober saya akan menerima pencalonan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat. Saya harap borang diisi lengkap dan akan diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat. Walaupun cadangan saya supaya proses pemilihan diubah suai untuk memastikan tidak ada penipuan dan salah guna kuasa oleh pihak tertentu tidak dilayan (surat pun tak jawab), saya telah menerima desakan penyokong di seluruh negara bahawa biarlah apa berlaku, lawan tetap lawan. (Bukankah ini yang selalu kita dengar?)

Bila saya jadi Timbalan Presiden nanti, parti kita akan lebih bersepadu dan kukuh. Ahli di bawah akan mendapat layanan yang lebih daripada pemimpin di atas. Pemilihan parti tidaklah seperti sekarang. Mereka yang tidak setuju dengan pendapat saya tidak akan disisih. Kem dan puak akan berkurangan. Calon pilihanraya akan dibuat secara terbuka dan demokratik. Cabang-cabang akan menjadi lebih aktif dan suara demokrasi sebenar akan berkumandang di negara Malaysia.

Saya tidak mampu berjanji akan membawa kita semua ke Putrajaya seperti yang dilaungkan oleh calon-calon lain, kerana saya bukan Ketua Pakatan Rakyat. Cuma persediaan untuk kemenangan besar mestilah bermula dengan beberapa kemenangan kecil. Kemenangan seperti memupuk perpaduan ahli, kemenangan mencari dana yang cukup untuk jentera parti, kemenangan mencari calon yang direstui dan disokong oleh orang tempatan, dan bukan kerana mereka kenal orang kuat parti. Ini akan saya lakukan.

No comments:

Post a Comment

good