May 29, 2010

Ucapan Dasar Presiden PKR


Kongres Nasional PKR Keenam

PENDAHULUAN

Bismillah alrrahman alrrahim, Assalamu’alaikum Warahmatullihi wa barakatuhu dan salam sejahtera.

Syukur ke hadrat Allah swt kita di panjangkan usia dan dianugerahkan kesihatan yang baik hingga dapat bersama-sama di dewan Kelantan Trade Centre ini bagi mengadakan Kongres Parti Keadilan Rakyat.

Pada tahun ini, kita bertuah kerana dapat bertandang ke Kota Bharu, Kelantan, bumi Cik Siti Wan Kembang, negeri yang diperintah oleh kerajaan pimpinan rakan kita, dari Parti Islam se-Malaysia sejak dua dekad yang lalu.

Walaupun dengan kelebihan satu kerusi pada 2004, PAS dengan kepimpinan ulamak; tawadduq dan istiqamah telah Berjaya mempertahankan kerajaan negeri terus memperkukuhkannya hingga ke hari ini.

Justeru, kunjungan kita ke Kota Bharu ini, bukan satu kebetulan. Kunjungan ini disertai dengan misi penting; yakni, mengajak kita semua kembali menghayati fitrah sebuah perjuangan yang kita pegang.

Orang hulu balik ke hulu,
Bila sampai bulan terang,
Asal niat jernihkan dahulu,
Agar segak langkah pejuang.

ERTI SEBUAH PERJUANGAN

Saudara-saudari yang dikasihi,

Kita telah lalui tiga era kepimpinan lawan. Kepimpinan UMNO kini kian berkecamuk dan terdesak, umpama binatang buas yang luka, tindakbalasnya nekad dan lebih zalim.

Sesungguhnya hanya pejuang sejati yang mampu berhadapan dengan musuh yang terdesak serta nekad seperti hari ini. Hanya pejuang sejati yang mampu berhadapan dengan tekanan di luar batas kemanusiaan serta ujian sogokan dan imbuhan, ibarat tiada sempadan.

Justeru, bagaimana pula tindakan kita? Kita harus kembali ke titik mula perjuangan kita; janji dan sumpah kita, harapan dan doa restu rakyat. Kita juga harus muhasabah, secara jujur dan ikhlas, adakah kita pejuang sejati.

Saudara-saudari perwakilan yang dikasihi,

Kita singkap semula! KEADILAN lahir di tengah-tengah rintihan rakyat. Rakyat mendambakan satu wadah yang diharapkan dapat menyelamatkan negara ini dari terus dimusnahkan.

Pabila Raja kerenah,
Pabila gundek menabur fitnah,
Pabila pembesar kurang amanah,
Pabila kepercayaan rakyat kian punah,
Itulah tandanya Negara akan musnah.

Di bahu kita harapan disandarkan. Ibarat batang pokok, yang menunjangi perjuangan kita. Kita yakin kemahuan rakyat yang mahukan keadilan dan perubahan.
Hari ini, akan saya ungkapkan sekali lagi Deklarasi Permatang Pauh, 12 September 1998. Bahawa yang kita perjuangkan adalah:

Gerakan reformasi yang terpancar perjuangan hati nurani, dari kesedaran bahawa sesungguhnya diri manusia itu mulia dan merdeka, mempunyai hak dan tanggungjawab, diri manusia haram dizalimi dan diaibkan, haram di belenggu dan disekat tanpa mengikut proses dan undang-undang yang adil

Gerakan reformasi untuk menegakkan keadilan untuk semua, yang kuat dan yang lemah, yang kaya dan yang miskin; membersihkan institusi dan proses undang-undang dari dicemari oleh penyalahgunaan kuasa dan rasuah;

Gerakan reformasi untuk mendaulatkan kuasa rakyat melalui proses demokrasi. Demokrasi itu satu kemestian, kerana semangat keadilan yang ada dalam diri manusia membolehkan demokrasi dilaksana, tetapi kecenderungan manusia untuk berlaku zalim menjadikan demokrasi satu kewajipan;

Gerakan reformasi untuk memperjuangkan keadilan ekonomi, menjana pertumbuhan dan pengagihan yang saksama, jangan yang kaya bertambah kaya yang miskin papa kedana. Dunia ini mencukupi untuk keperluan semua, tetapi tidak mencukupi untuk memenuhi kerakusan individu;

Gerakan reformasi untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mengikis manipulasi pasaran oleh segelintir golongan rakus dan mahakaya;

Gerakan reformasi untuk memperkukuhkan jayadiri budaya yang dinamis, setia kepada warisan bangsa yang murni dan terbuka kepada segala yang baik dari semua budaya;

Saudara-saudari dalam perjuangan yang dikasihi,

Pilihanraya umum ke-12 memberi kemenangan dan kedudukan moral kepada kita untuk mendepani usaha menyelamatkan Negara.

Walaupun kita telah membuat anjakan besar, hakikatnya negara masih lagi bergelut dengan kebejatan dan salah guna kuasa yang sama, diarahkan oleh dalang politik yang sama. Malah jauh lebih ganas kerana luka 2008 tidak mampu mereka terima.

Justeru, tidak hairanlah sandiwara Fitnah 2 dirancang dan kali ini menonjolkan watak yang lebih mantap. Fitnah 2 ini adalah peringatan besar kepada kita bahawa barah yang mencetuskan perjuangan rakyat pada tahun 1998; masih bersarang, makin bernanah hingga ke hari ini.

Ringkasnya tuan-tuan dan puan-puan,

Sewajarnya kita mengingat kembali pengajaran perjuangan Rasulullah SAW ketika berlakunya ujian-ujian getir dalam peristiwa Tahun Kesedihan – orang-orang Islam telah dipulaukan, isteri kesayangan Rasullah SAW iaitu Saidatina Khadijah dan Abu Talib, bapa saudara Rasullah SAW meninggal dunia pada tahun itu, sehinggakan Rasulullah ditempelak oleh musuhnya bahawa “Tuhannya sendiri telah meninggalkannya”. Tetapi berkat iman dan istiqamah mereka, Allah SWT membalasnya dengan kemenangan.

Memang lazim kebatilan disokong kerana ia ada kekuatan, kezaliman dijunjung kerana ia ada kuasa, manakala pembohongan diakui, kerana ia kaya dan menguasai media. Namun percayalah, sebuah kerajaan yang zalim, kekuatan zahiriah yang mereka ada selalu menyembunyikan betapa rapuhnya tampuk kuasa yang mereka pegang; ingat firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 14, mafhumnya:

Di dalam al-Quran, Allah SWT memberikan contoh-contoh yang nyata mengenai peringatan ini -dari Firaun ke Parsi hingga ke Rom; kerajaan zalim yang nampak begitu gagah runtuh satu persatu. Kita arif dengan kupasan Ibn Khaldun dalam mukaddimah. Mutakhir ini kita menyaksikan kebangkitan rakyat menewaskan kezaliman apartheid di Afrika Selatan, Marcos di Filipina dan Shah di Iran.

MEMENUHI ASPIRASI RAKYAT

Saudara-saudari yang dikasihi

Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat dan KEADILAN khususnya di Selangor, adalah kepercayaan bersyarat. Harapan rakyat yang diungkapkan melalui manifesto, perlu diterjemahkan dengan sebaiknya melalui pelaksanaan yang menepati tuntutan.

Bukan mudah untuk memimpin Selangor, apatah lagi selepas 50 tahun diporak-perandakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN). Tahniah diucapkan kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dan pimpinan kerajaan Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus mentadbir negeri dengan baik, walaupun terpaksa berhadapan dengan karenah dan tentangan dari luar mahupun dari dalam.

Sesungguhnya, pengiktirafan tidak datang dengan percuma. Kerajaan Negeri Selangor perlu terus menjunjung aspirasi rakyat, dan aspirasi parti rakyat, dan aspirasi parti dan PR.

Tempoh dua tahun memimpin, pelbagai dasar yang meletakkan kepedulian kepada rakyat di hadapan telah dilaksanakan. Program-program ini perlu disokong dan dan diperhebatkan. Kerajaan Negeri perlu lebih kreatif menggembleng tenaga dengan aktivis parti untuk memastikan lebih ramai rakyat mendapat kebaikan dari program sebegini.

Pada masa yang sama, jangan kita lupa bahawa rekod dua tahun Kerajaan 2 Negeri PR adalah satu rekod membanggakan. Cubaan demi cubaan dibuat untuk menyabitkan kerajaan Selangor dengan rasuah gagal.

Saudara-saudari sekalian,

Namun, beberapa aspek perlu diberi perhatian;

Pertama, percepatkan pelaksanaan keputusan dan kelicinan pentadbiran. Kenal pasti undang-undang, dasar dan arahan pekeliling yang menjadi punca kepada kelewatan dan birokrasi remeh untuk disemak, dipinda mahupun dibatalkan.

Kedua, pastikan perkhidmatan dan bantuan kerajaan negeri sampai hingga ke peringkat yang terbawah.

Ketiga, perhebatkan pelan pembangunan ekonomi negeri yang berlandaskan Agenda Ekonomi Malaysia.

Keempat, penuhi harapan rakyat di dalam perkhidmatan kerajaan tempatan. Penghulu, JKKK, Ahli Majlis dan pemimpin setempat perlu memainkan peranan penting kerana anda adalah wakil kita dengan rakyat. Program-program untuk meningkatkan keberkesanan mereka perlu dilaksanakan dengan segera.

Kelima, jentera penerangan Kerajaan Negeri perlu lebih agresif, proaktif dan kreatif untuk memastikan dasar-dasar dan maklumat Kerajaan Negeri sampai ke kumpulan sasaran. Harus diingat, politik adalah persoalan persepsi.

Para perwakilan yang dihormati,

Model ekonomi dan pentadbiran kita, berasaskan prinsip urustadir baik atau good governance, atas keyakinan bahawa tanggungjawab kerajaan adalah untuk mentadbir dengan cekap, telus dan amanah. Tanggungjawab memacu ekonomi perlu dipikul bersama sektor swasta, dan ruang diberikan sepenuhnya kepada mereka untuk merancakkan kegiatan ekonomi, tanpa mengorbankan kebajikan rakyat.

Saudara saudari sekalian,

Laporan Ketua Audit Negara tahun 2008 mengesahkan Kerajaan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Perak di bawah PR mempunyai rekod pentadbiran yang baik dan bersih. Saya mencadangkan Kerajaan Selangor mengadakan good governance index atau Indeks Pentadbiran Baik setiap tahun, agar kita tahu kedudukan kita dan rakyat boleh menilai komitmen kita kepada pentadbiran yang cekap, telus dan amanah.

KESAKSAMAAN SEMUA KAUM

Saudara-saudari yang dimuliakan

Umno sedar bahawa model parti pelbagai kaum yang kita bawa memenuhi kehendak rakyat. Walaupun mereka cuba menafikan, keputusan PRU 12 jelas membuktikan; masa depan politik negara ini mampu dicapai melalui muafakat jujur rakyat pelbagai kaum.

Mereka kini sudah hilang punca, dan terpisah dari aspirasi sebenar orang Melayu kerana asyik dengan kemewahan hasil penyelewengan. Sebab itu, mereka menumpukan serangan kepada parti, demi memusnahkan kredibiliti kita kepada pengundi Melayu. Kita difitnah sebagai anti-Melayu.

Gejala polarisasi kaum yang dibawa oleh Umno ini merbahaya kepada negara. Apatah lagi tindakan menghasut dan memainkan sentimen perkauman ekstrim menjadi senjata ampuh mereka. Konsep 1Malaysia adalah satu hipokrasi kerana wujud percanggahan ketara diantara janji manis dan tindakan rakus! Malaysia wajib kita selamatkan dari terus diadu-domba dengan sentimen merbahaya.

Saudara-saudari sekalian,

Kerisauan orang Melayu, akibat hasutan musuh dan propaganda media perdana bukan sedikit. Kita perlu menerangkan dasar parti kepada rakyat khususnya orang Melayu, melalui program-program yang berkesan. Mereka harus tahu, parti kita jelas mengenai kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, malah Landasan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, secara terbuka mengiktiraf kedudukan orang Melayu dan Bumiputera, seperti mana terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Umno menghasut rakyat bahawa kononnya kita menggadaikan kepentingan orang Melayu, apabila kita berpendapat Dasar Ekonomi Baru (DEB) wajar dihapuskan. Kita harus meyakinkan rakyat, kita menentang DEB, kerana ia gagal mencapai tonggak utamanya, yakni, menjaga kepentingan orang Melayu, dan perlaksanaan memperkayakan keluarga pemimpin dan kroni UMNO dan meminggirkan rakyat termasuk Melayu, Orang Asal, Dayak, Iban, Kadazan dll.

Orang Melayu dan Bumiputera telah ditipu sekian lama oleh Umno yang mahukan orang Melayu bergantung harap kepada kerajaan semata-mata; kerana Umno sedar tatkala orang Melayu mula yakin dengan kemampuan mereka dan tidak lagi memerlukan sokongan ahli politik Umno. Maka dasar ekonomi mereka adalah curahan bantuan kecilan agar rakyat terus mengharap dan bergantung, tidak merdeka dari segi ekonomi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi,

Persoalan kedudukan orang Melayu adalah persoalan jati diri dan daya saing. Orang Melayu perlu berdaya saing dan dilengkapi ciri-ciri ilmuan, kreatif dan inovatif. KEADILAN berjuang untuk membina jatidiri, dan asas kekuatan ekonomi orang Melayu, Bumiputera dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Contohnya, peruntukan saham orang Melayu telah diselewengkan oleh beberapa kerat sahaja sedangkan majoriti orang Melayu berputih mata. Ketirisan yang berlaku terlalu teruk, hinggakan daripada RM54 billion saham yang diperuntukkan; hari ini hanya tinggal RM2 billion sahaja yang kekal di tangan Bumiputra.

Apa akibatnya jika pendekatan ini diteruskan?

Amalan boros, tabiat memperkaya diri dan keluarga menghakis keyakinan dan daya saing. Akibatnya, kehidupan rakyat terhimpit. Harga barang keperluan meningkat; dan minyak naik lagi. Kini subsidi mahu ditarik – bukan subsidi IPP, AP atau konglomerat kaya; tetapi bantuan rakyat miskin terutamanya Bumiputera.

Potensi negara untuk terus maju akan terbantut, kerana gejala rasuah berleluasa. Perkara ini telah dan sedang berlaku – pertumbuhan ekonomi negara di sekitar 5 hingga 6% sahaja yakni ketinggalan berbanding prestasi Negara jiran.

Saudara saudari yang dikasihi,

Persoalan membina jati diri, dan daya saing, adalah persoalan kaedah – sebab itu KEADILAN telah menyediakan kaedah baru untuk membina jati diri dan dayasaing orang Melayu dan Bumiputera; melalui Agenda Ekonomi Malaysia. Menjadi tanggungjawab semua anggota parti untuk membawa hujah bahawa kaedah melalui agenda ekonomi ini adalah yang terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Felda adalah satu lagi contoh yang jelas menunjukkan cengkaman UMNO kepada orang Melayu. Apabila Allahyarham Tun Abdul Razak memulakan konsep tanah perancangan, tujuannya adalah untuk memberikan tanah kepada orang miskin agar mereka mempunyai aset untuk bergiat dalam kegiatan ekonomi. Maka peneroka yang menyertai skim akan berpeluang memiliki tanah sendiri untuk diusahakan. Falsafahnya jelas, iaitu memberikan hakmilik tanah kepada orang miskin yang bergiat dalam sektor pertanian melalui skim tanah perancangan.

No comments:

Post a Comment

good