May 13, 2010

Mampukah Sibu Catat Sejarah Politik Baru?

Dalam menghadapi kempen yang sengit pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu, terdapat satu cara untuk membantu para pengundi membuat keputusan.

Gabungan parti politik yang mana satu – Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) – yang dilihat boleh memenuhi kehendak masyarakat Sibu, jika diberi peluang untuk mentadbir kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak?

Soalan mudah ini ditimbulkan memandangkan hanya kerajaan persekutuan yang mempunyai kuasa dan sumber tenaga, dan juga kerajaan negeri Sarawak walaupun agak terhad dari segi sumber dan bidang kuasa, untuk menyelesaikan masalah dan memenuhi aspirasi mereka.

Sibu kini berada dalam kedudukan yang unik untuk mengimbangi kuasa politik, sama ada PR atau BN akan mengambil alih atau mengekalkan kuasa pemerintahan persekutuan pada pilihan raya akan datang, seperti mana yang akan diterangkan kemudian.

Sebagai permulaan, mari kita lihat masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat Sibu. Masalah-masalah itu ialah:

Masalah banjir yang tidak berkesudahan, kekurangan prasarana asas di kawasan-kawasan luar bandar, menafikan hak tanah adat, masalah memperbaharui tanah pajakan, kemiskinan dan masalah ekonomi sejak dahulu hingga menyebabkan anak-anak muda berhijrah beramai-ramai dari kampung halaman mereka.

Bolehkah ahli parlimen, tidak kira sesiapa pun, menyelesaikan masalah-masalah ini? Tidak boleh, walaupun oleh kerajaan negeri, kerana masalah-masalah ini hanya dapat diatasi menerusi dasar-dasar nasional dan memerlukan peruntukan wang yang banyak, yang hanya dapat disediakan oleh kerajaan pusat.

Ekonomi dalam keadaan tenat

Kita lihat keadaan ekonomi yang lembab. Ini masalah peringkat nasional. Sibu atau negeri Sarawak sendiri tidak boleh melonjakkan pertumbuhan ekonominya dalam ekonomi yang tepu, di mana selama satu dekad ekonomi berada dalam keadaan lemah.

Bank Dunia, dalam laporan ekonomi yang terbaru mengenai Malaysia (disebut sebagai Pengawasan Ekonomi Malaysia) menggambarkan keadaaan ekonomi Malaysia sebagai berada dalam "perangkap pendapatan pertengahan" (middle-income trap).

Keadaan di mana Malaysia kini tidak lagi berdaya saing sebagai pengeluar kos rendah dan tidak mampu mendaki tangga untuk mencapai status ekonomi bernilai tinggi, yang berasaskan inovasi dan pengetahuan.

Seperti yang dikemukakan oleh Bank Dunia, ini disebabkan oleh kejatuhan jumlah pelaburan sektor swasta (tempatan dan luar negeri), yang berkisar pada kadar 10% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sejak tercetusnya krisis kewangan Asia 1997/98. Satu pencapaian yang sangat rendah berbanding 37% sebelum berlakunya krisis itu.

Pencapaian yang rendah ini amat berbeza dengan pencapaian oleh negara-negara jiran, yang mencapai lonjakan yang tinggi dalam jumlah pelaburan swasta, meninggalkan Malaysia jauh di belakang.

Ketidakmampuan Malaysia berdaya saing berakar umbi dari politik – kesan buruk dari amalan rasuah yang sentiasa meningkat dan kuasa kerajaan yang bersifat kuku besi.

Nama Malaysia hampir hilang dari radar para pelabur asing, kerana mereka tidak berminat untuk melabur dalam sebuah negara di mana peraturan undang-undang secara terang-terangan dicabuli.

Ini termasuk institusi-institusi penguatkuasaan yang menjadi alat politik dan keadaan ekonomi separuh lumpuh akibat amalan kroni dan perlindungan berdasarkan ras.

Kehilangan pelabur yang memalukan boleh dilihat dari pengaliran keluar modal dari negara ini. Aliran keluar modal berjumlah AS$14.1 bilion (RM42.3 bilion), jauh mengatasi aliran masuk modal sebanyak AS$8.1 bilion (RM24.1 bilion), pada kadar pengurangan yang luas, 70%.

Di negara membangun manakah di dunia ini yang mengalami kesan seburuk ini?

Pelahap yang tidak bertanggungjawab

Lebih memburukkan keadaan ekonomi ini ialah cara kerajaan Barisan Nasional mengurus kewangan negara yang haru biru. Meskipun negara memperolehi hasil pendapatan petroleum yang memberangsangkan – yang kini membiayai 40% dari jumlah perbelanjaan tahunan kerajaan – negara tetap mengalami defisit belanjawan setiap tahun sejak 13 tahun yang lampau.

Perbelanjaan defisit ini akhirnya meletup ketika pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri apabila meningkat dua kali ganda dalam tempuh empat tahun.

Terdapat tanda-tanda trend ini akan berterusan dan tidak dapat dikawal walaupun Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan Najib Razak berjanji untuk mengatasi masalah ini.

Defisit belanjawan yang membelon ini adalah akibat dari kebocoran yang besar dari amalan pemerolehan dan boros dalam berbelanja untuk tujuan politik dan kepuasan nafsu peribadi, diburukkan lagi dengan kutipan hasil yang sedikit ekoran dari suasana ekonomi yang lembab.

Jurang luas di antara perbelanjaan dan pendapatan ini dijangka akan semakin melebar pada masa depan memandangkan kemampuan Petronas untuk membiayai perbelanjaan negara akan berkurangan ekoran dari hasil yang semakin mengecil dan kos operasi yang meningkat.

Dengan keadaaan perbendaharaan negara yang sedemikian rupa, rakyat Sibu harus beringat apabila para pemimpin BN menabur janji untuk memperuntukan dana untuk projek prasarana, termasuk skim menyekat banjir untuk Sibu, yang menelan belanja RM1 bilion, menurut Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sarawak menjadi miskin kerana rasuah

Malahan, rakyat Sarawak tidak sepatutnya mejadi mangsa dan merana akibat kemiskinan dewasa ini dan menjadi golongan masyarakat yang terpinggir, jika tidak kerana salah guna kuasa pentadbiran yang berleluasa oleh sebuah kerajaan negeri yang paling korup di negara ini.

Dengan dikurniakan Tuhan berupa minyak dan gas yang melimpah ruah dan memiliki hutan hujan yang kaya di dunia, rakyat Sarawak sepatutnya menikmati taraf hidup yang tinggi dan kemewahan.

Sebaliknya, negeri itu menduduki ranking sebagai sebuah negeri yang paling miskin di Malaysia, tahniah kepada pemerintahan yang tidak berakhir di bawah Ketua Menteri Taib Mahmud.

Terkenal dengan panggilan "Peh Moh" (rambut putih), Taib Mahmud dalam tempuh 29 tahun pemerintahannya telah mengaut kekayaan dari hasil balak untuk dirinya sendiri, keluarganya, rakan rapat politik dan kroni perniagaan, hingga ke tahap negeri yang kaya dengan aset semula jadi pada suatu ketika dahulu, kini hampir menjadi botak.

Tambahan pula, empayar kewangan keluarganya, CMS, yang mempunyai kepentingan dalam setiap aspek ekonomi negeri, hampir memonopoli semua peluang perniagaan yang ditawarkan oleh pemerolehan awam melalui rundingan berbentuk "kasih sayang".

Perbuatan paling kejam Taib ialah kerana meminggirkan penduduk-penduduk bumiputera yang bertaburan di segenap pelusuk negeri Sarawak yang luas itu.

Selain dari menanggung kesengsaraan hidup akibat kemusnahan terhadap kehidupan habitat mereka yang menjadi tempat penggantungan mereka mencari rezeki (akibat aktiviti balak yang berleluasa), mereka telah dinyahkan dari tanah nenek moyang tanpa bayaran ganti rugi yang setimpal.

Perbuatan biadap ini dilakukan bagi memberi laluan kepada syarikat-syarikat pembalakan dan pertubuhan-pertubuhan perladangan yang besar yang mendapat layanan istimewa daripada kerajaan Taib Mahmud.

Sedikit pun tidak boleh disangsikan bahawa rakyat Sarawak sepatutnya dapat hidup dalam segala kemewahan dan para penduduk di pendalaman dapat hidup secara lebih bertamadun.

Keadaan ini dapat dijamin sekiranya pemerintahan yang korup itu tidak bersikap kuku besi, di mana hanya golongan elit dan kroni mereka sahaja yang meragut kekayaan.

Politik baru Pakatan Rakyat

Jauh berbeza jika dibandingkan dengan sistem pemerintahan BN yang lapuk dan reput ini, Pakatan Rakyat telah membawa politik baru apabila berjaya merampas lima negeri utama di Semenanjung pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Pentadbiran negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat terkenal dengan kebertangungjawaban dan ketelusan seperti mana terbukti dengan perlaksanaan sistem tender terbuka dan dasar pemerolehan awam.

Stail baru pentadbiran ini diperakui sendiri oleh Ketua Pengarah Audit sendiri dalam laporan tahunan yang terbaru yang memuji tentang pengurusan kewangan yang berhemah.

Pencapaian ini jauh berbeza berbanding negeri-negeri yang dikuasai oleh kerajaan BN yang ditegur dalam setiap laporan tahunan sejak sekian lama kerana berleluasanya penyelewengan, kecuaian dan rasuah dalam perbelanjaan dana awam.

Kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU12 2008 juga bukan secara kebetulan. Kepopularitiannya semakin meningkat seperti yang disahkan oleh kejayaan dalam beberapa pilihan raya kecil yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Ini dapat dicapai walaupun Pakatan Rakyat terpaksa menghadapi insitusi dan jentera kerajaan yang memihak kepada BN, termasuk peranan media arus perdana yang berat sebelah.

Tsunama politik yang melanda ketika PRU 2008 menunjukkan bahawa rakyat di Semenanjung telah bangkit dari rejim BN yang menyeleweng dan penuh tipu daya.

Malahan, jika tidak kerana monopoli BN dalam mencengkam Sabah dan Sarawak, Pakatan telah berjaya menawan Putrajaya, memandangkan ramai ahli-ahli parlimen BN akan menyokong politik baru Pakatan Rakyat dalam parlimen yang terumbang ambing.

Bolehkah Sibu menyahut cabaran?

Di sinilah Sibu dapat memainkan peranannya yang bersejarah. Kemenangan Pakatan di kubu kuat BN seperti Sibu akan membuka lembaran baru bagi penduduk-penduduk bumiputera membuat perubahan. Mereka ini mengundi BN kerana perasaan takut melebihi dari perasaan cinta.

Sibu kemudiannya boleh mencetuskan kesan teori domino hingga membolehkan Pakatan Rakyat meraih kejayaan dalam pilihan raya di negeri-negeri lain – cukup untuk membawa tsunami untuk turut melanda Sabah.

Keadaan ini akan memberi ruang kepada perubahan rejim dan era baru kepada negara ini pada PRU akan datang.

Adakah rakyat Sibu sudah bersedia untuk menyahut cabaran ini bagi melakar sejarah dalam membina Malaysia baru? Sama-sama kita nantikan.

No comments:

Post a Comment

good