May 21, 2010

AMK pelawa Mugilan berjuang bersama

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK), sedia menerima bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan jika beliau berminat menyertai parti berbilang kaum itu.

Timbalan Ketua AMK, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fariz Musa berkata, penyertaan Mugilan akan membawa bersama pemuda MIC ke dalam parti itu.

Beliau berkata, "jika MIC tidak mahu menerima kamu lagi, kamu boleh datang kepada AMK. Kamu boleh berkhidmat kepada rakyat melalui kami pula.

"Tidak ada syarat yang dikenakan. Anda cuma jujur dan boleh menerima perjuangan PKR. PKR memerlukan mereka yang ikhlas dalam perjuangan dan tidak mengutamakan kepentingan peribadi.

"Kita boleh berjuang bersama-sama untuk kebaikan negara kita," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Fariz yang juga Ketua AMK Terengganu berkata demikian ketika diminta mengulas pemecatan Mugilan dari jawatan timbalan ketua pemuda MIC.

Semalam Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu mengumumkan pemecatan Mugilan selepas berunding dengan Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel.

Sejak kebelakangan ini, Mugilan sering mengkritik Samy termasuk mendesak bekas menteri kerjaraya itu supaya melepaskan jawatan segera dan bukannya lapan bulan selepas penggal tamat pada Mei 2012.

Fariz berkata, Mugilan boleh mengemukakan permohonan untuk menyertai AMK dan permohonan itu akan dinilai oleh majlis pimpinan pusat (MPP).

Semalam dilaporkan, Mugilan akan membawa isu pemecatannya kepada pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, dakwaan Samy bahawa beliau mensabotaj parti semasa pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor adalah satu isu yang serius.

"Ini tuduhan yang sangat serius yang juga membabitkan BN, Jadi saya mahu berjumpa Najib untuk membincangkan hal ini," katanya seperti dilaporkan oleh Malay Mail.

Usaha menghubungi Mugilan tidak berjaya kerana telefon bimbitnya ditutup.





No comments:

Post a Comment

good