Aug 13, 2010

Mahasiswa berpolitik: Tubuh kaukus rentas parti


PETALING JAYA: Pengumuman Menteri Pengajian Tinggi Datuk Khaled Nordin tentang keputusan Kabinet meneruskan sekatan terhadap penglibatan mahasiswa dalam politik menggambarkan sebuah Kerajaan yang ketinggalan dan tidak prihatin dengan apa yang berlaku di persekitarannya.

Tindakan Kerajaan melayan bantahan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan kuncu-kuncunya bermakna pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak lebih prihatin dengan pandangan lapuk berbanding keperluan mendengar dan berinteraksi dengan generasi masa depan.

Faedah membenarkan mahasiswa terlibat di dalam politik sudah diketahui umum dan telah dibahaskan berkali-kali di peringkat nasional. Lebih penting lagi, matlamat negara melahirkan modal insan yang berdaya saing mesti menekankan pendidikan menyeluruh yang melangkaui bilik kuliah dan kurikulum yang diajar.

Generasi yang kreatif dan inovatif lahir daripada minda yang bebas – yang diberikan sepenuhnya peluang berbahas, berbincang dan lebih penting lagi melakukan kesilapan agar mereka belajar daripada kesilapan mereka.

Kita cuma menunggu masa sebelum mahasiswa negara ini yang membentuk kelompok pengundi yang penting, menghantar mesej menolak Barisan Nasional; memandangkan petanda jelas daripada Pilihan Raya Umum 2008 telah diketepikan begitu sahaja.

Tindakan seterusnya untuk menyanggah keputusan Kabinet bahawa mahasiswa tidak bersedia terlibat dalam politik ialah dengan menggambarkan kematangan dan pengaruh sebenar mahasiswa dan anak muda.

Kami dengan ini menggesa pembentukan kaukus rentas parti oleh ahli politik muda daripada semua parti bagi memperjuangkan penglibatan mahasiswa dalam politik.

Sebelum ini kami menyambut baik bahawa ada rakan-rakan kami di dalam Barisan Nasional yang turut berkongsi keyakinan bahawa membenarkan mahasiswa terlibat di dalam politik dan proses politik bagi menggembleng potensi anak muda menyumbang kepada negara sepenuhnya.

Usaha Timbalan Menteri Datuk Saifuddin Abdullah untuk menarikh perhatian terhadap isu ini beserta tentangan daripada Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin terhadap pengumuman Kabinet tempoh hari menggambarkan kita boleh mewujudkan penyelesaian
rentas parti terhadap isu ini.

Justeru, memandangkan komitmen mereka, kami ingin menjemput Datuk Saifuddin untuk mempimpin kaukus rentas parti dalam isu ini. Jika rakan-rakan kami daripada Barisan Nasional benar-benar ikhlas tentang masa depan generasi muda, peluangnya terbuka luas untuk mereka membuktikan keikhlasan mereka.

Kenyataan media ini dikeluarkan bersama oleh Nurul Izzah Anwar, Yusmadi Yusoff, Yunus Jamhari, Kesavan, Nik Nazmi Ahmad, Chan Ming Kai, Chang Lih Kang, Sim Tze Tzin, Amiruddin Shari dan Gan Pei Nei.

YB NURUL IZZAH ANWAR, Ahli Parlimen Lembah Pantai

YB YUSMADI YUSUF, Ahli Parlimen Balik Pulau

YB YUNUS JAMHARI, ADUN Kuala Kurau

YB KESAVAN, ADUN Hutan Melintang

YB NIK NAZMI AHMAD, ADUN Seri Setia

YB CHAN MING KAI, ADUN Simpang Pulai

YB CHANG LIH KANG, ADUN Teja

YB SIM TZE TZIN, ADUN Pantai Jerejak

YB AMIRUDDIN SHARI, ADUN Batu Caves

YB GAN PEI NEI, ADUN Rawang

No comments:

Post a Comment

good