Aug 18, 2010

Kajian UIA Dedah 45 Peratus Setuju Dasar Pakatan Rakyat Di Selangor




SHAH ALAM 18 Ogos - Sebilangan besar atau sekurang-kurangnya 45 peratus responden di Selangor bersetuju dengan dasar serta program yang dijalankan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Tiga program yang paling dipersetujui ialah bekalan air percuma sebanyak 74 peratus, Skim Mesra Usia Emas 66 peratus dan hadiah anak masuk universiti sebanyak 60 peratus.

Majoriti responden juga bersetuju bahawa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memiliki sifat-sifat positif berkaitan dengan kecekapan menguruskan ekonomi (43 peratus) dan pentadbiran negeri (39 peratus).

Kajian tersebut didedahkan oleh Unit Penyelidikan Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang diketuai Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, Prof Dr Mohamad Sahari Noordin dan Dr Tunku Badariah Tunku Ahmad.

Kajian tersebut dijalankan bagi mengetahui sikap dan penerimaan rakyat Selangor terhadap dasar, pelaksanaan dan penguatkuasaan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar.

Kajian perbincangan Kumpulan Berfokus diadakan antara 22 Oktober hingga 19 November 2009 yang melibatkan 34 peserta.

Lima kategori responden yang terlibat ialah penyokong Pakatan Rakyat, penyokong Barisan Nasional, kumpulan bukan Melayu dan ahli korporat serta usahawan.

Manakala kajian soal selidik pula dilakukan terhadap 2,633 responden di sebanyak 30 kawasan Dewan Undangan Negeri daripada 56 DUN di Selangor mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 2008.

Keseluruhan keputusan analisis data dalam kajian berkenaan juga mendapati peratus sampel yang tidak bersetuju dengan setiap sifat positif Menteri Besar adalah lebih rendah berbanding dengan peratus sampel yang bersetuju.

Taburan kelompok sampel yang tidak bersetuju berada adalah antara 4.9 peratus (kuat pegangan agama) dengan 12.8 peratus (bijak berpolitik).

Malahan tidak ada satu pun sifat positif Menteri Besar Selangor yang disenaraikan menunjukkan lebih banyak respon ”tidak setuju” berbanding dengan respon ”setuju.”

Hanya sifat ”handal berpidato” mempunyai jurang tipis antara sampel yang bersetuju (18.5 peratus) dengan yang tidak bersetuju (18 peratus).

Kesimpulan analisis kadar sokongan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat mendapati bahawa peratusan responden yang berada di atas pagar adalah tinggi, iaitu sekitar 46 peratus dan 51 peratus.

Ini menunjukkan kemungkinan para responden masih lagi menilai prestasi kerajaan negeri Pakatan Rakyat atau memerhati alternatif yang boleh di bawa oleh Barisan Nasional.

Juga pola yang sama ditemui di kalangan responden tentang aspek-aspek keberkesanan pentadbiran Abdul Khalid, iaitu ramai di kalangan responden tidak tahu dan tidak dapat menilai sama ada kerajaan Pakatan Rakyat di bawah Menteri Besar telah berjaya mentadbir Selangor dengan baik.

Ini menunjukkan responden tidak mempunyai maklumat, pengetahuan atau masih belum dapat membina pendapat mengenai kepimpinan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Hasil kajian tersebut telah dibentangkan pada 6 Ogos lalu.

No comments:

Post a Comment

good