Jun 13, 2010

Subsidi Sebenarnya Dividen Untuk Rakyat

Di hadapan 1,500 pemimpin tradisional dan pendekar Melayu, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan bahawa beliau tidak akan merungkai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diilhamkan oleh ayahandanya Tun Razak Hussein, Perdana Menteri kedua Malaysia. Beliau juga berikrar akan mempertahankan semangat dasar ekonomi itu.

Bagaimanapun harapan Najib agar peserta Kongres Ekonomi Melayu anjuran Majlis Perhimpunan Melayu (MPM) itu teruja dengan apa yang cuba digambarkannya sebagai ketegasan perjuangan Melayu-Bumiputera dan Islamnya, tidak bersambut. Malah, dengan selamba pemimpin utama majlis berkenaan, Ibrahim Ali, mengumumkan 31 resolusi bahawa MPM menganggap apa yang cuba diketengahkan oleh Najib – Model Ekonomi Baru (MEB) – sebagai pewaris DEB adalah bertentangan dengan kepentingan Melayu-Bumiputera – Islam.

Najib terkesima dengan ketegasan MPM yang baru berusia setahun jagung tetapi menyimpan azam dan cita-cita untuk menjadi benteng pertahanan kepentingan Melayu-Bumiputera-Islam yang utama kerana bekas presiden Umno, Tun Mahathir Mohamad menganggap Umno tidak lagi layak mewakili kepentingan Melayu. Sebagai langkah melepaskan diri daripada sergapan Ibrahim Ali dan rakan-rakan pendekar Melayu lainnya, Najib melompat daripada memberi reaksi terhadap pendirian MPM itu dan menyambar isu Anwar Ibrahim yang kononnya mahu melantik seorang Timbalan Perdana Menteri Malaysia kedua jika Pakatan Rakyat (Pakatan) memerintah negara.

Ketika itu media arus perdana terkesima dengan permainan silap mata Najib. Kita melihat Najib memang tersudut hari itu. Pada satu segi beliau mahu mengulang ingatkan rakyat Malaysia bahawa keabsahan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri bukan kerana beliau adalah Presiden Umno sahaja.

Malah lebih daripada itu, Najib ingin menyatakan bahawa beliau adalah pewaris satu dasar ekonomi yang cukup besar nilainya kepada Melayu-Bumiputera dan Islam. Kita membaca sikap yang selalu dipamerkannya kebelakangan ini hanya untuk memberitahu umum bahawa bapanya adalah Perdana Menteri yang banyak berjasa.

Bagi kita, peringatan itu tidak perlu. Rakyat tahu menilai. Apa yang lebih penting ialah Najib seharusnya menjadikan hakikat bahawa bapanya pernah menjadi Perdana Menteri sebagai peringatan, pedoman dan juga syarat untuk beliau berfikir agar selari dengan zaman demi mencari jalan membawa pulangan keamanan, kesentosaan dan juga keharmonian hidup kepada rakyat Malaysia, seperti yang pernah dilakukan oleh ayahandanya. Tidak perlulah beliau menggilap zaman kegemilangan bapanya. Realitinya hari ini, beliau Perdana Menteri yang mesti ada idea baru dan tulen.

Sebab itu agaknya, MPM berpendapat MEB adalah bertentangan dengan kepen-tingan Melayu. Betapa tidaknya. DEB Tun Razak bermatlamat menyusun semula masyarakat supaya kegiatan ekonomi mereka tidak dikenali dengan etnik masing-masing dan membasmi kemiskinan. Lantaran itu segala usaha digembleng untuk bergerak ke arah itu. Salah satu ciri utama DEB ialah pemberian subsidi kepada rakyat.

Ketika itu negara melangkah ke alam mewah. Rizab minyak dan gas ditemui di pesisir pantai Terengganu, Sabah dan Sarawak. Harga pasaran antarabangsa sawit Malaysia juga tinggi. Kerajaan bertindak pro-aktif.

Anugerah Ilahi itu dikongsi dengan rakyat umumnya dalam bentuk subsidi. Tidak keterlaluan jika kita sinonimkan istilah subsidi itu sebagai skim pengagihan dividen kepada rakyat. Berlandaskan skim subsidi inilah DEB di-gerakkan. Rakyat Melayu-Bumiputera-Islam menerimanya dengan besar hati. Maka ini diterjemahkan dalam bentuk pengukuhan kedudukan politik Umno-BN melalui pilihan raya 1974, 1978, 1982, 1986 hingga 1990.

Gerakan Gagasan Rakyat yang ingin mencabar hegemoni politik dan ekonomi ketika itu tidak berhasil. Hakikat ini, Tengku Razalaeigh Hamzah serta Rais Yatim cukup faham. Maka berkuburlah Semangat 46 dan berbondong-bondonglah mereka kembali ke pangkuan Umno.

Lantas, hari ini Najib mesti faham apabila beliau memperkenalkan MEB, beliau sebenarnya cuba beralih atau memberi takrif baru terhadap isu dividen keamanan dan kemakmuran negara. Beliau dan penasihat-penasihat ekonomi Umno-BN hari ini cuba memberi gambaran bahawa subsidi kepada rakyat adalah sesuatu yang tidak baik kepada ekonomi negara.

Walhal bapanya menganggap ini adalah dividen untuk rakyat hasil kekayaan negara.

Bagi kita, pengertian subsidi ini bertukar kerana Umno-BN tidak mahu mengaku bahawa kini mereka adalah pengurus ekonomi negara yang tidak cekap dan kurang berkesan kerana kurang ikhlas dan jujur. Ketirisan ekonomi kerana kecurangan pemimpin Umno-BN sudah menular ke pelbagai peringkat dan tidak dapat dibendung lagi. Justeru langkah mudah ialah tarik balik subsidi dan rakyat digertak dengan kemungkinan negara akan bankrap menjelang 2019 – setahun sebelum menjadi negara maju!

Soalnya, mengapa Najib enggan mengakui bahawa bapanya ada tempat dalam sejarah negara kerana beliau menaja DEB dan berusaha mengagihkan kekayaan negara dengan saksama melalui subsidi. Bagaimanapun Najib sebagai perdana menteri sibuk berusaha menarik balik subsidi kerana enggan mengakui kecurangan dan keculasan Umno-BN yang dipimpinnya.


No comments:

Post a Comment

good