Vasantha Kumar berkata, jaminan tersebut diberikan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat pada satu pertemuan di bangunan Parlimen pagi ini.
“Mewakili masyarakat India, saya telah membangkitkan perkara ini dan Datuk Seri Anwar memberi jaminan akan melihat isu pemberian biasiswa yang mencetuskan rasa tidak puas hati sebagai isu nasional,” kata Vasantha Kumar kepada The Malaysian Insider hari ini.
Vasantha Kumar yang kini menganggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas dibebaskan daripada tahanan memberitahu isu berkaitan biasiswa JPA menyentuh kepentingan semua kaum di negara ini.
“Ada pelajar Melayu yang layak tidak menerima biasiswa, begitu juga dengan Cina dan India... kami mahu perkara ini dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata Anwar juga mengakui perkara itu ada dibangkitkan oleh beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat di Parlimen dan berjanji akan dibangkitkan lagi.
Selain itu kata Vasantha Kumar, Anwar juga berjanji untuk meminta kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat memberikan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi awam yang terletak di negeri masing-masing.
“Dengan langkah ini Datuk Seri Anwar berpendapat bahawa lebih banyak pelajar akan dibantu mengikuti pengajian,” katanya.
Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan pemberhentian pemberian 1,500 biasiswa JPA bagi pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara mulai tahun depan akan dilakukan secara berperingkat.
“Kita kurangkan secara berperingkat. Ini soal kemampuan kerana perbelanjaan untuk seorang pelajar terlalu mahal. Lebih untung kalau kita belanjakan untuk orang ramai,” katanya.
Namun, mereka yang mendapat tempat di universiti terkemuka seperti Oxford dan Cambridge, masih boleh memohon untuk diberikan biasiswa.
Pengagihan biasiswa JPA yang dianggap tidak adil menjadi isu sekali lagi baru-baru ini.
Minggu lalu, Presiden Pertubuhan Persekutuan India Malaysia A. Rajaretinam mendakwa kerajaan tidak bersikap adil terhadap golongan minoriti dalam pemberian biasiswa JPA.
Rajaretinam mendakwa daripada sejumlah 1,500 biasiswa yang dikeluarkan, 1,200 diberi kepada pelajar Melayu dan selebihnya kepada pelajar bukan Melayu termasuk kaum India dan Cina.
Nazri menafikan perkara itu dengan berkata pengagihan biasiswa JPA dibuat berdasarkan nisbah 56:44 dengan Bumiputera mendapat 56 peratus manakala bukan bumiputera sebanyak 44 peratus.
No comments:
Post a Comment
good