Aug 5, 2009

UNTUK RENUNGAN

NANGKA
DAN HATI

Maria, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi nangka yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah nangka yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.


Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi nangka
masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling
banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka
benci.

"Sekarang simpan nangka tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi
selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu
keputusannya" beritahu Cikgu Maria. Kanak-kanak tersebut menyimpan nangka
masing-masing di dalam beg.

Hari demi hari berlalu, nangka tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya
menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak
menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk.
Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maria sudah bersorak.
Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu
dibawa.

"Okey semua, apa rasanya bawa nangka dalam beg ke sana ke mari selama
seminggu?" tanya Cikgu Maria. Semuanya serentak mengatakan mereka benci
permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih
teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan
bau busuk.

"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada
orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan
kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak
boleh tahan dengan bau nangka busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan
apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" beritahu
Cikgu Maria.

Maria mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci
daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih
baik darpada membenci.

Moralnya, jangan letak nangka dalam beg. Jangan simpan kebencian, dendam
kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati.. Macam nangka yg makin
membusuk, begitu juga hati.