Dec 25, 2008

Pengundi KT diminta tolak BN kerana swastakan IJN


Meskipun kerajaan Barisan Nasional telah memilih untuk menangguhkan keputusan ke atas pembelian IJN Holdings Sdn Bhd oleh Sime Darby Berhad, Parti Keadilan Rakyat (KeADILAn) tetap menggesa agar kerajaan tidak meluluskan penswastaan IJN atas prinsip kerajaan bertanggungjawab bagi menawarkan perkhidmatan kesihatan yang murah dan berkualiti. KeADILan dengan ini menyeru agar pengundi di Kuala Terengganu (KT) menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Kecil di Kuala Terengganu bulan depan, sebagai mesej kepada kerajaan agar tidak menswastakan IJN pada ketika ekonomi meleset ini.

Pendirian kerajaan menyokong cadangan menswastakan IJN semalam telah menimbulkan kebimbangan rakyat dari segi peningkatan kos perubatan, malah negara dijangka mengalami kerugian sebanyak RM10juta setahun.

Menurut laporan dalam web berita Business Times yang bertajuk Heartfelt assurance (19 Dis 2008), IJN yang 99% ekuitinya dimiliki kerajaan di bawah Kementerian Kewangan mendapat keuntungan kira-kira RM20milion setahun.
(http://www.btimes.com.my/Current_News/BTIMES/articles/ijno-2/Article/index_html)

Jika pengambilalihan 51% ekuiti IJN oleh Sime Darby daripada Kementerian Kewangan berlaku, keuntungan syarikat tersebut pastinya terjamin sekurang-kurangnya RM10juta setahun. Dalam jangka masa panjang, projek pelaburan ini pasti akan mendatangkan pulangan yang stabil serta kedudukan strategik dalam perkhidmatan kesihatan kepada Sime Darby.

Akan tetapi, penswastaan IJN ini tidak menjamin apa-apa kebaikan kepada rakyat, sebaliknya rakyat terpaksa menanggung kesan kos perubatan yang meningkat dan negara pula mengalami kerugian sumber pendapatan.

Wajar diingat bahawa sasaran IJN terdiri daripada majoriti rakyat berpendapatan sederhana dan rendah, serta kakitangan awam. Sime Darby sebagai sebuah syarikat swasta yang mengejar keuntungan pasti menyedari potensi ini dan akan menukarkan IJN kepada sebuah entiti komersial yang berpaksikan keuntungan sekiranya projek penswastaan ini berjaya.

Umpamanya Subang Jaya Medical Centre yang kini dimiliki Sime Darby, kos pembedahan "Single Bypass" adalah RM40,000 - 50,000; berbanding dengan IJN yang hanya mengenakan caj RM25,000 - 30,000, iaitu perbezaan sebanyak satu kali ganda.

Rakyat khususnya kakitangan awam yang memerlukan rawatan perubatan IJN pasti akan menanggung beban kos perubatan yang lebih tinggi jika Sime Darby mengambilalih IJN.

Dalam pada itu, Pakatan Rakyat ketika membentangkan cadangan alternatif terhadap Bajet 2009 pada Oktober lalu telahpun menyaran agar caj perkhidmatan kesihatan kerajaan dipotong atau dihapuskan demi kepentingan rakyat khasnya mereka yang tidak berkemampuan. (tamat)



TIAN CHUA
Ketua Penerangan
Ahli Parlimen Batu, WP
Parti Keadilan Rakyat
keADILan

No comments:

Post a Comment

good