Nov 20, 2010

Mereka menyalahkan Zaid kerana mengancam masa depan pakatan pembangkang. Mereka bahkan mencaci Malaysia Today kerana 'menggugat' Pakatan Rakyat. Tapi 'mereka' inilah yang membakar jambatan dan membuatkan mustahil bagi Zaid menimbangkan kembali keputusannya.

NO HOLDS BARRED

Raja Petra Kamarudin
Translated by Si Manis Amni


Saya selalu menyiarkan artikel oleh Tay Tian Yan (diterjemahkan oleh Dominic Loh) di Malaysia Today. Ini adalah kali pertama saya menjawab artikel mereka.

Pertama sekali, mengapa mereka mengaitkan Angkatan Ketiga (Third Force) dengan Zaid Ibrahim? Perbincangan mengenai Angkatan Ketiga muncul lama sebelum wujudnya petunjuk tentang ke kecohan dalam PKR ataupun petunjuk bahawa bahawa Zaid akan meninggalkan parti. Tiba-tiba, semua orang mengatakan bahawa Zaid adalah pemimpin Angkatan Ketiga yang disebut-sebut itu. Saya kata ‘disebut-sebut’ kerana belum pun awan muncul, dah sibuk-sibuk nak keluar payung.

Adakah Angkatan Ketiga hanya suatu idea, sama seperti idea Kerajaan Perpaduan yang timbul tak lama selepas pilihanraya umum lepas, dan yang akhirnya tak menjadi kenyataan?

Ada beberapa orang dalam PKR yang berusaha menjadi orang tengah bagi mendesak kedua-dua puak untuk berdamai. Mereka cuba memujuk Zaid agar tidak meninggalkan parti dan sebaliknya, kekal dalam parti dan meneruskan perjuangannya dalam PKR dan Pakatan Rakyat.

Tetapi melihatkan cara Zaid dipersetankan, maka susahlah bagi kedua-dua puak untuk berdamai. Bolehkah Zaid bertenang dan menimbangkan kembali keputusannya? Melihatkan cara dia diperlakukan, saya tak fikir dia akan berbuat demikian. Lukanya takkan sembuh. Malah lukanya pasti bertambah parah dengan garam yang sedang dilumurkan padanya.

Mereka menyalahkan Zaid kerana mengancam masa depan pakatan pembangkang. Mereka bahkan mencaci Malaysia Today kerana 'menggugat' Pakatan Rakyat. Tapi 'mereka' inilah yang membakar jambatan dan membuatkan mustahil bagi Zaid menimbangkan kembali keputusannya.

Setelah mereka menempelaknya sebegitu rupa, Zaid memang tiada pilihan lain, kecuali kekal dengan keputusannya, walaupun terdapat usaha bagi memeterai 'perjanjian damai'.

Contohnya adalah artikel oleh Tay/Dominic ni. Penulisan mereka penuh dengan nada ejekan. Kalau mereka melakukan analisis politik, maka itu boleh diterima. Jika terdapat nada ejekan dalam kata-kata anda, maka jangan haraplah Zaid akan bertolak ansur.

"Mengetahui mengenai sesuatu perkara secara tidak sepenuhnya adalah sangat berbahaya," kata Tay/Dominic. Kalau macam tu, saya boleh kata bahawa mereka pun dua kali lima. Kenapa mereka mengandaikan bahawa Zaid akan menubuhkan parti baru? Setahu saya, pada masa ini, Zaid tidak berniat untuk membentuk parti baru. Dia juga tidak mempunyai niat untuk menyertai parti lain. Tetapi jika anda terus mendesak dan mengejeknya, maka mungkin saja dia akan melakukannya. Saya takkan menyalahkannya kalau dia berbuat begitu. Kalau anda mengejek saya, saya pun akan membalas dengan cara yang paling buruk yang mampu saya lakukan.

Saya rasa orang seperti Tay/Dominic yang berpihak kepada satu puak dalam PKR sangat senang dengan konflik yang berlak u dalam PKR pada masa ini. Mereka gembira benar kerana Zaid akan meninggalkan parti. Bahkan mereka mungkin sedar bahawa usaha sedang dijalankan bagi memujuk kedua-dua puak untuk berdamai dan memujuk Zaid agar tidak meninggalkan parti.

Mungkin inilah sebabnya Zaid sedang dipersetankan. Mungkin inilah Kuda Trojan yang sebenar. Mereka bimbang bahawa perjanjian damai akan disepakati dan keamanan sekali lagi akan menghiasi PKR. Disebabkan itulah mereka terus menyakitkan hati Zaid bagi memastikan dia makin marah dan tidak menimbangkan kembali keputusannya.

Bertepuk sebelah tangan tidak menjadi. Kita hanya menumpukan pada kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan oleh Zaid. Ya, saya mengaku bahawa dia ada melakukan kesilapan.Tapi adakah ini bermakna bahawa hanya Zaid yang telah melakukan kesalahan dan pihak yang satu lagi adalah mulia dan merupakan penjelmaan semula Mother Teresa?

Apabila saya mempertahankan Zaid, saya dituduh menyebelahinya. Tapi sebenarnya, saya juga sudah 12 tahun mempertahankan Anwar (iaitu berkenaan dengan kes liwatnya). Adakah ini bermakna bahawa saya juga menyebelahi Anwar? Macam mana pula saya mampu menyebelahi kedua-dua belah pihak yang sedang berbalah?

Zaid dan Azmin pun sedang bertelagah. Tapi saya mempertahankan Zaid dan juga menghantar mesej tahniah kepada Azmin. Jadi, perlukah saya menghantar mesej maki-makian kepada Azmin untuk 'membuktikan’ bahawa saya adalah orang Zaid?

Saya tidak mengejek Azmin. Saya menghantar mesej-mesej yang baik kepadanya. Jadi, mengapa kita harus kita mengejek Zaid? Adakah itu dilakukan untuk memastikan bahawa dia membenci PKR dan melakukan sebanyak mungkin kerosakan pada PKR semampunya?

Ramai orang yang cuba berlagak matang. Apabila saya pergi minum teh bersama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, saya tak habis-habis dikutuk. Sebenarnya, masalah yang kini dialami PKR dicetuskan oleh mereka yang kononnya penyokong kuat PKR; mereka yang suka mencerca orang lain. Mungkin inilah caranya bagi si kecil berangan-angan bahawa mereka adalah tokoh besar.

Bagi saya, Zaid terpaksa kekal dengan keputusannya. Usaha bagi mengantarakan konflik ini dan memujuk Zaid agar bertenang dan menimbangkan semula pendiriannya akan gagal. Puncanya adalah gelagat Kuda Trojan yang menyamar sebagai penyokong kuat parti.

Adakah mereka benar-benar ingin masalah ini diselesaikan ataupun mereka suka melihat konflik melanda PKR?

Macam ni mampus lah PKR. Hancur!

No comments:

Post a Comment

good